- PERUNDINGAN PERPADUAN MALAYSIA (MSCC)
Pada bulan Julai 1961, satu mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel (PKK) cawangan Tanah Melayu dan Borneo telah diadakan di Singapura. Semasa mesyuarat ini, pemimpin-pemimpin Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah mengambil peluang ini untuk menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan Sabah, Sarawak dan Brunei yang hadir ke mesyuarat tersebut.
Penerangan ini didapati telah mengurangkan salah faham, terutama di kalangan pemimpin tiga wilayah tersebut tentang penubuhan Malaysia. Kesan daripada persefahaman ini, mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia. Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil dari semua wilayah yang terlibat dalam pembentukan, sementara Donald Stephens dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut. Namun, perwakilan Brunei menganggap diri mereka hanya sebagai pemerhati kerana ketidaksediaaan Brunei menyertai gabungan.
Secara amnya, jawatankuasa ini berfungsi untuk menerangkan dengan lebih jelas akan konsep Malaysia kepada orang ramai, khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Untuk tujuan ini, jawatankuasa akan mengumpul dan membandingkan idea-idea serta pendapat yang dikemukakan berhubung Malaysia. Keterangan-keterangan dan perbincangan akan dilaksanakan dengan lebih giat untuk menyegerakan rancangan pembentukanMalaysia ini. Selain itu, jawatankuasa juga seboleh mungkin berusaha mendapatkan kata sepakat daripada pemimpin-pemimpin politik di semua daerah terbabit. Semenjak pembentukan jawatankuasa ini, mereka telah mengadakan perjumpaan sebanyak empat kali, iaitu pertamanya di Jesselton (Kota Kinabalu sekarang) pada 21 Ogos 1961, kedua di Kuching pada 18 Disember 1961, ketiga di Kuala Lumpur pada 6 Januari 1962 dan keempat di Singapura pada 1 Februari 1962.
Dalam perjumpaan-perjumpaan jawatankuasa dan usaha-usaha yang dilaksanakan, ramai tokoh dari Tanah Melayu dan Singapura seperti Tunku Abdul Rahman sendiri, Ismail Yusoff, Datu Ong Yoke Lim dan Lee Kuan Yew memainkan peranan yang sangat penting. Perjumpaan-perjumpaan yang mereka adakan dengan pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak telah mendatangkan hasil yang baik.
- SURUHANJAYA COBBOLD
Suruhanjaya Penyiasat Borneo Utara atau Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan setelah satu rundingan dibuat antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan kerajaan British pada bulan November 1961. Suruhanjaya ini dilantik secara rasmi pada 16 Januari 1962. Suruhanjaya ini dipanggil Suruhanjaya Cobbold sempena nama ketuanya, iaitu Lord Cobbold seorang berbangsa Inggeris. Ahli-ahli suruhanjaya ini ialah Lord Cobbold, iaitu bekas Gabenor Bank England sebagai ketua, Anthony Abell dan David Waterson yang mewakili kerajaan British, sementara Dato’ Wong Pow Nee dan Tan Sri Mohd. Ghazali Shafie sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.
Kerajaan United Kingdom dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bersetuju bahawa dengan memasukkan Borneo Utara dan Sarawak (bersama-sama dengan lain-lain negeri) ke dalam Persekutuan Malaysia yang dicadangkan itu, banyak faedah diperoleh rakyat Negara-negara yang berkenaan. Matlamat penubuhan Suruhanjaya Cobbold adalah untuk menyiasat fikiran rakyat Borneo Utara dan Sarawak berkenaan hal ini dan membuat syor-syor setelah menimbangkan fikiran itu.
Suruhanjaya ini menjalankan tugasnya selama dua bulan bermula pada 19 Februari 1962 dan berakhir pada bulan April 1962. Dalam tempoh dua bulan tersebut, Suruhanjaya Cobbold telah mengadakan 50 perjumpaan di 35 buah tempat, iaitu 20 di Sarawak dan 15 di Sabah serta telah menemui lebih daripada 4000 orang yang mewakili kira-kira 690 buah kumpulan. Selain itu, suruhanjaya ini juga mempelawa dan menerima surat-surat atau memorandum daripada orang ramai untuk menyuarakan pandangan mereka. Semasa menjalankan tugasnya, suruhanjaya telah menerima lebih daripada 2000 (lebih kurang 600 pucuk surat dari Sabah dan selebihnya dari Sarawak ) memorandum yang dikemukakan sama ada oleh lembaga-lembaga bandaran, ketua-ketua kaum, Majlis Daerah, parti-parti politik, persatuan-persatuan, dewan-dewan perdagangan, pemimpin-pemimpin agama mahupun orang perseorangan. Daripada keseluruhan kerja atau tugas yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Cobbold ini, jelas mereka membuat tinjauan serta penyiasatan secara menyeluruh dan mewakili sebahagian besar penduduk di kedua-dua wilayah tersebut.
Suruhanjaya Cobbold menamatkan penyiasatannya pada 18 April 1962 dan kemudian mengemukakan sebuah laporan penyiasatan kepada kerajaan British kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada bulan Jun 1962. Menurut laporan suruhanjaya ini, lebih kurang 80% daripada penduduk Sabah dan Sarawak menyokong pembentukan ini dan sebahagian besar daripada mereka ialah kaum Bumiputera. Secara keseluruhan, bentuk sokongan masyarakat Sabah dan Sarawak terbahagi kepada tiga golongan iaitu:
a. 1/3 daripada dua buah negeri ini menyokong penuh penggabungan tanpa syarat
b. 1/3 lagi turut menyokong, tetapi dengan syarat-syarat dan jaminan tertentu.
c. 1/3 lagi separuhnya mahukan kemerdekaan dahulu sebelum bergabung dan separuhnya yang menentang kerana mahu kekal dalam pemerintahan British. Bilangan yang menentang ini dicatatkan hanya lebih kurang 20% sahaja.
No comments:
Post a Comment